Banjir: Warga emas tak sabar nak balik

Banjir: Warga emas tak sabar nak balik

MEK Yam Ahmad mengemas pakaiannya kerana sudah tidak sabar untuk kembali ke rumah ketika ditemui di PPS SK Gual Tok Deh, Rantau Panjang, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seorang warga emas meluahkan rasa ‘rindu’ untuk pulang ke rumahnya selepas 18 hari berlin­dung di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, di sini selepas kampungnya dinaiki air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mek Yam Ahmad, 80, berkata, walaupun sudah lali menjadi mangsa awal yang berpindah, perasaan mahu kembali ke rumah membuak-buak.

“Sudah hari ke-18 saya me­netap di PPS ini sejak Kampung Bendang Perol dilanda banjir. Sepanjang tempoh itu, saya meminta cucu pulang melihat keadaan banjir dan rumah kerana tidak larat berbuat demikian disebabkan sakit lutut.

“Walaupun perasaan untuk kembali ke rumah semakin membuak-buak, saya perlu menahannya kerana kawasan masih ditenggelami banjir,” katanya semalam.

Mek Yam berkata, dia juga berasa segan terlalu lama berada di PPS kerana kebanyakan mangsa banjir lain sudah pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Narizan Zakaria, 58, berkata, dia sudah tidak sabar pulang ke rumah kerana sudah lebih dua minggu berada di PPS.

“Dalam setahun kami akan berpindah sekurang-kurangnya tiga kali,” ujarnya.

Dalam pada itu, bencana banjir yang melanda negeri ini semakin baik apabila seramai 27 orang mangsa sahaja dari Rantau Panjang, Pasir Mas yang masih berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, setakat pukul 4 petang tadi.

Ketika ini SK Gual Tok Deh menjadi PPS tunggal di negeri ini yang masih aktif menempatkan mangsa banjir.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan memaklumkan, kese­mua mangsa yang terlibat itu terdiri daripada tujuh buah keluarga.

“Tiga buah PPS di Pasir Mas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, SK Gual Periok dan SMK Gual Periok ditutup sepenuhnya pada pukul 3.30 petang semalam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya