KOTA BHARU: Situasi banjir di negeri ini bertambah serius apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara PPS naik kepada 3,259 orang berbanding 2,644 orang setakat pukul 8.15 pagi tadi.
Menurut InfoBencanaJKM setakat pukul 2 petang kesemua mangsa daripada 1,026 keluarga itu kini berlindung di 13 buah PSS melibatkan jajahan Pasir Mas, Bachok dan Tanah Merah.
Bagaimanapun, PPS di jajahan Kota Bharu dan Machang masing-masing sudah ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang.
Daripada jumlah tersebut, Pasir Mas menjadi jajahan paling teruk apabila menempatkan 3,016 orang mangsa diikuti Bachok (221), Tanah Merah (22).
Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi tahap amaran tetapi menunjukkan tren menurun kepada 10.27 meter.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kekal pada tahap berjaga-jaga manakala lain-lain kembali normal.- UTUSAN