KOTA BHARU: Situasi banjir di negeri ini semakin buruk apabila seramai 12,577 mangsa sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 10,279 orang setakat pukul 8.30 malam tadi.
Jumlah tersebut melibatkan 3,860 buah keluarga yang ditempatkan di 82 PPS di tujuh daerah.
Sekreteriat Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 8 pagi ini tujuh daerah yang terjejas dengan banjir iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Bharu.
Menurutnya, daerah Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir paling tinggi iaitu sebanyak 7,210 orang diikuti Kuala Krai (2,566), Tanah Merah (1,783), Machang (462), Gua Musang (271), Jeli (255) dan Kota Bharu (25).
“Setakat ini, tiga daerah masih belum terjejas banjir iaitu Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok,” katanya.
Sementara itu, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi bacaan bahaya.
Bacaan Sungai Kelantan di Sungai Nal dan Sungai Semerak (Pasir Puteh) berada pada tahap amaran.
Lain-lain sungai ketika ini berada pada paras berjaga-jaga.
Taburan hujan di beberapa kawasan di negeri ini masih lagi lebat.-UTUSAN