Banjir: Jangan lupa selamatkan, bawa al-Quran, kitab suci - Utusan Malaysia

Banjir: Jangan lupa selamatkan, bawa al-Quran, kitab suci

SUKARELAWAN memeriksa dan mengasingkan helaian kitab suci yang terjejas dan rosak akibat banjir yang lalu di Pusat Pelupusan Al-Quran di Masjid Taman Yayasan, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Penduduk yang kediaman sering dan berpotensi dilanda banjir  diingatkan supaya menyimpan dan membawa al-Quran dan kitab suci ke tempat selamat semasa musim tengkujuh yang melanda negara pada masa ini.

Pengendali Pusat Pelupusan al-Quran Masjid Taman Yayasan, Jaafar Maskor, 65, penduduk  harus lebih peka dalam menyelamatkan kitab-kitab suci  tersebut selain barangan berharga lain sewaktu banjir.

“Pihak kami menerima kitab-kitab suci yang rosak ini dengan hati yang terbuka tetapi jumlahnya yang melebihi 100 kilogram sehari akibat banjir amat membimbangkan.

“Jika tabung, perkakasan rumah, pakaian dan lain-lain boleh diselamatkan terlebih dahulu, jangan sampai kita lupa dan alpa untuk selamatkan al-Quran dan kitab suci sewaktu banjir.

“Walaupun kita ada sediakan pusat pelupusan ini tetapi langkah-langkah pencegahan awal untuk menjaga dan memelihara kitab suci ini harus dilakukan. Penghuni rumah boleh simpan atau bawa bersama al-Quran dan kitab suci tersebut ke tempat yang lebih selamat,” katanya ketika diemui di Taman Yayasan, di sini hari ini.

Sementara itu, sukarelawan, Aishah Kassim, 63, berkata, pihaknya pernah menerima kira-kira 400 kilogram al-Quran dan kitab suci pasca banjir.

“Sedih melihat keratan al-Quran dan kitab suci yang koyak dan hanyut tersadai di atas jalan raya, tepi longkang dan di merata-rata tempat selepas banjir.

“Ibarat hati kita juga disiat-siat seperti koyaknya keratan kitab suci itu sewaktu kita menguruskan proses pelupusan terbabit. Mohon semua pihak jagalah kitab suci ini sebelum banjir melanda. Selamatkan kitab ini dahulu berbanding barangan yang lain.

“Jika perlu bawa ke pusat pemindahan sementara (PPS), bawalah bersama. Boleh juga dibuat aktiviti bacaan dan tadarus al-Quran bersama-sama penghuni yang lain,” katanya.

Bagi Hisham Abdullah, 36, setiap tahun dia sekeluarga memastikan al-Quran dan kitab suci ini dikemas terlebih dahulu. 

“Saya akan menyimpan al-Quran dan kitab-kitab suci ini dalam bekas plastik penyimpanan barang yang kedap udara. Saya akan tumpangkan kitab-kitab ini di rumah saudara-mara yang terdekat jika hujan lebat melebihi 48 jam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya