Banjir: IPD Pasir Mas ronda setiap satu jam pantau jenayah

Banjir: IPD Pasir Mas ronda setiap satu jam pantau jenayah

ANGGOTA polis semasa melakukan rondaan menggunakan bot bagi memastikan tahap keselamatan rumah penduduk berada dalam keadaan baik di Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas melakukan rondaan setiap satu jam di kawasan yang ditenggelami banjir bagi mengelakkan berlakunya kejadian jenayah terutama kes pecah rumah sepanjang penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, anggota polis menjalankan rondaan dengan menaiki bot berikutan kebanyakan kawasan kampung ditenggelami air setinggi 0.8 meter hingga 1.5 meter.

Menurutnya, rondaan berkala itu juga dilakukan pada waktu malam bagi memastikan harta benda mangsa banjir selamat ketika rumah mereka ditinggalkan.

“Seramai 408 anggota penguat kuasa terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjalankan rondaan sepanjang musim banjir ini.

“Sebanyak 18 buah kampung yang masih terjejas banjir terutamanya di Kampung Tersang, Kampung Serongga dan Kampung Padang Licin. Selain itu, beberapa jalan di kawasan tersebut masih tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan rondaan di Kampung Serongga di sini hari ini.

 

Kama Azural memberitahu, setakat ini, tiada kes jenayah pecah rumah dilaporkan di kawasan yang terjejas banjir di Pasir Mas.

Katanya, keadaan cuaca hari ini cerah dan mangsa banjir di sembilan buah PPS di Pasir Mas selain Rantau Panjang menurun kepada 3,260 orang.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Serongga, Mohamad Zaidi Salleh, 60, berkata, dia tidak berpindah kerana mahu menjaga keselamatan harta benda.

Katanya, bagaimanapun, anak-anak dan isterinya berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang.

“Saya berat hati untuk berpindah ke PPS kerana mahu menjaga barangan di rumah.

“Penduduk di sini menyambut baik dan berterima kasih kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan rondaan semasa banjir,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya