Banjir di Jerantut, PPS pertama dibuka di SK Felda Kota Gelanggi Satu, 75 mangsa dipindahkan - Utusan Malaysia

Banjir di Jerantut, PPS pertama dibuka di SK Felda Kota Gelanggi Satu, 75 mangsa dipindahkan

SEORANG penduduk berada di hadapan kediamannya yang dilimpahi air Sungai Siam di Felda Kota Gelanggi 1 di Jerantut, Pahang. - FOTO/IHSAN BIRO SOSIAL FELDA WILAYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hujan lebat sejak semalam menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Gelanggi 1 di sini menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) pertama dibuka di negeri ini menempatkan 75 mangsa membabitkan 19 keluarga.

PPS itu dibuka pada pukul 9 pagi hari ini apabila mangsa banjir di Felda tersebut terpaksa dipindahkan berikutan air Sungai Siam melimpah masuk ke penempatan di situ.

Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, mangsa terdiri daripada lima warga emas lelaki, warga emas perempuan (tujuh orang), lelaki dewasa (23 orang), perempuan dewasa (16 orang), kanak-kanak lelaki (11 orang) dan 13 kanak-kanak perempuan.

“Paras air Sungai Siam menunjukkan trend menurun dan mulai surut. Walau bagaimanapun, keadaan masih dipantau dari semasa ke semasa kerana dikhuatiri hujan akan turun dan menyebabkan paras air sungai meningkat semula.

“Mangsa yang ditempatkan di PPS ini dipantau serta diberi bantuan makanan serta kebajikan lain oleh pihak berkuasa beruniform, agensi kerajaan di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut, pengurusan Felda dan Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya di sini hari ini.

RAZAK DAUD

Abdul Razak menasihati mangsa supaya bersabar berdepan ujian itu dan semua bantuan kebajikan akan disalurkan segera di PPS tersebut.

Katanya, penduduk di kawasan Felda lain di daerah yang kerap ditimpa banjir kilat supaya lebih berwaspada dengan menjaga keselamatan keluarga dan harta benda memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat kerap turun minggu ini.

“Penduduk Felda dan penempatan di pesisir sungai supaya berwaspada dan memperoleh maklumat yang sahih mengenai keadaan paras air sungai dan banjir daripada pihak berkuasa beruniform, JPKK dan PKOB,” ujarnya.

Sementara itu,Jabatan Meteorologi melaporkan Jerantut antara daerah dalam amaran bahaya (merah) kerana dijangka hujan lebat berterusan sehingga 25 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya