Banjir: Bina kolam takungan, tinggikan benteng dilaksana awal tahun depan - Utusan Malaysia

Banjir: Bina kolam takungan, tinggikan benteng dilaksana awal tahun depan

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR (tengah) meninjau rumah pam di Kampung Mohd. Amin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa akan menyegerakan kerja pembinaan kolam takungan dan pintu air serta meninggikan benteng di tiga kawasan di bandar raya ini yang terjejas akibat banjir kilat, minggu lalu. 

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah itu bagi menangani masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk di Taman Sri Tebrau, Taman Majidee dan Kampung Mohd. Amin, di sini.

Katanya, projek itu dijangka bermula awal tahun depan menerusi peruntukan sebanyak RM2.8 juta yang disediakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Bagi mengatasi masalah banjir kilat daripada berterusan, kerja meninggikan benteng akan dilakukan di Kampung Mohd. Amin, manakala pembinaan kolam takungan di Taman Majidee.

“Di Taman Sri Tebrau, akan dibina  pintu air bertujuan  menghalang air laut mengalir ke sungai ketika air pasang, seterusnya mengurangkan risiko banjir,” katanya selepas meninjau rumah pam di Kampung Mohd. Amin, di sini yang turut disertai Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor  berkata, banjir kilat berlaku di sekitar bandar raya ini baru-baru ini berpunca daripada taburan hujan yang lebat serta pertembungan dengan air pasang besar.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, kedudukan Kampung Mohd. Amin yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini tidak dapat menampung aliran air yang tinggi, sekali gus berlaku limpahan air dari Sungai Chat.

“Tindakan meninggikan benteng dapat mengurangkan risiko banjir kilat, sekali gus memberikan kelegaan kepada kira-kira 200 keluarga di sini,” katanya.

Pada 7 Disember lalu, penduduk menyifatkan banjir kilat yang melanda Kampung Mohd. Amin sebagai paling buruk dalam tempoh 60 tahun lalu kerana air naik sehingga paras dua meter susulan hujan lebat dan air pasang besar.

Berdasarkan laporan Pejabat Daerah Johor Bahru, sebanyak 38 lokasi di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya