Anggota Rela diingat jaga keterampilan, berpakaian kemas - Zuhairi - Utusan Malaysia

Anggota Rela diingat jaga keterampilan, berpakaian kemas – Zuhairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diingatkan supaya menjaga keterampilan dan menitikberatkan aspek etika serta tatacara pemakaian seragam ketika bertugas.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, anggota pasukan sukarelawan terbabit perlu menjaga imej dan jangan mengambil gambar dengan gaya tidak sesuai ketika memakai pakaian seragam Rela.

“Apabila memakai pakaian seragam diberikan, anggota Rela perlulah kelihatan kemas, kerana ia akan memberi persepsi positif masyarakat kepada anggota jabatan ini.

“Setiap anggota Rela perlulah menjaga imej dan nama baik Rela selaras dengan transformasi jabatan sukarelawan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Penutup Akhir Tahun Platun Rela Sungai Isap di sini semalam.

ZUHAIRI AB KADIR

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, aspek pemakaian mampu mencerminkan personaliti, sikap, tahap pemikiran serta moral seseorang anggota Rela.

“Jalankan setiap tugasan dengan jujur, ikhlas dan amanah. Kita perlu menjaga nama baik dan imej Rela agar terus dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan anggota jabatan sukarelawan itu agar memakai pakaian seragam yang dibekalkan ketika tugasan rasmi sahaja.

“Setiap anggota Rela perlu menghargai pakaian seragam yang dibekalkan dan memegang amanah tersebut dengan memakainya ketika dalam tugasan rasmi sahaja, bukan aktiviti harian. Hal ini boleh menjejaskan imej Rela di mata masyarakat yang memberi kepercayaan tinggi sama seperti pihak berkuasa lain,” katanya.

Sementara itu, Zuhairi mengingatkan anggota Rela supaya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang mula melanda ketika ini.

Beliau berkata, anggota Rela bukan sahaja menjaga keselamatan di majlis-majlis keraian, malah turut memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan negara bersama agensi keselamatan lain termasuk ketika berlakunya musibah banjir.

“Perkara ini sudah pun terbukti sejak sekian lama yang mana sumbangan anggota Rela begitu diperlukan ketika situasi banjir sama seperti mana pasukan keselamatan lain,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan anggota Rela supaya sentiasa bersiap siaga jika dikeluarkan arahan bagi membantu tugasan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) ekoran peningkatan kes Covid-19.

“Anggota Rela sebelum ini diberikan peranan membantu agensi keselamatan lain khususnya polis dalam pasukan khas penguatkuasaan, sekatan jalan raya (SJR), rondaan pemantauan di kawasan perumahan, kampung, pasar raya, bank serta pemantauan pematuhan SOP tempat tumpuan ramai seperti di pasaraya.

“Selain Malaysia, peningkatan kes Covid-19 juga dilaporkan di peringkat global termasuk di negara jiran dan memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan sentiasa dalam mod bersiap siaga untuk terus memantau situasi dan varian Covid-19 dari masa ke semasa. Anggota Rela perlu bersedia,” katanya.

Beliau turut meminta anggota Rela supaya terus dan setia berkhidmat sehingga bersara selaras cogan kata pasukan itu, ‘Setia Berbakti’.

“Dengan adanya sifat setia, walaupun usia sudah bergelar warga emas, saya harap anggota Rela yang menyertai pasukan ini terus setia berbakti kepada negara dan rakyat sehingga tamat perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya