'Anda jaga diri di PPS, kami pantau rumah' - Polis - Utusan Malaysia

‘Anda jaga diri di PPS, kami pantau rumah’ – Polis

ANGGOTA polis memantau keadaan banjir serta kediaman penduduk di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat yang terjejas akibat banjir demi menjaga keselamatan nyawa dan harta benda masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: “Anda jaga diri di pusat pemindahan sementara (PPS), kami pantau rumah.”

Demikian pesanan pihak polis daerah ini kepada penduduk yang terjejas akibat banjir supaya segera berpindah ke  PPS demi keselamatan diri dan keluarga.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah memberi jaminan kepada penduduk bahawa pihaknya dengan dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan kediaman penduduk yang terjejas bagi memastikan harta benda mereka selamat daripada pencerobohan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Langkah berjaga-jaga sebagai jaminan kepada penduduk setempat supaya tidak bimbang untuk meninggalkan kediaman mereka, sebaliknya terus menginap di PPS untuk berlindung. Anggota polis turut akan meronda kawasan penempatan termasuk di sepanjang kediaman berhampiran di Sungai Segamat dan Sungai Buloh Kasap.

“Kita menggunakan bot secara berkala agar kediaman mereka selamat daripada pencuri atau kumpulan pecah rumah.Ada penduduk risau rumah diceroboh dan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berpindah, walaupun keputusan terbabit sebenarnya mengancam keselamatan mereka sekeluarga.

“Bencana banjir ini sesuatu tidak boleh dijangka, hari ini pun cuaca nampak cerah dan hujan pun bukan lebat, tetapi paras air bertambah dari semasa ke semasa dengan cepat,” katanya ditemui selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, di sini hari ini.

Pihak polis turut menjadualkan semula anggota bertugas di balai namun tidak menjejaskan waktu menunggu orang ramai yang datang berurusan membuat laporan.

Setakat ini tiada balai polis di Segamat dinaiki air dan keadaan terkawal.

“Walaupun berkemungkinan ada beberapa balai polis mungkin digenangi air akibat banjir gelombang kedua kelak, namun penugasan anggota tetap diteruskan demi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Setiap PPS turut dipantau oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bertugas secara berkala, selain mangsa berpindah dinasihatkan menjaga barangan peribadi terutamanya kad pengenalan (MyKad). Kerjasama dengan agensi keselamatan lain juga membantu melancarkan urusan menyelamat dan mengawal keselamatan sepanjang musim banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya