PORT DICKSON: Tindakan penguatkuasaan boleh diambil kepada pengunjung di pantai-pantai peranginan di Port Dickson yang berkhemah di kawasan yang tidak dibenarkan selain menggunakan kemudahan wakaf sebagai tempat perkhemahan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, tindakan tegas itu akan diambil jika pendekatan teguran dan nasihat yang akan diberikan terlebih dahulu oleh pihak penguat kuasa tidak diendahkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengunjung yang hanya mahu berkhemah di pantai-pantai di daerah ini supaya menjalankan aktiviti berkenaan di kawasan yang telah ditetapkan sahaja.
“Buat masa sekarang prosedur operasi standard (SOP) perkhemahan belum lagi ditetapkan, saya rasa apabila SOP itu sudah disediakan maka akan ada satu garis panduan yang lebih jelas. Namun nasihat saya buat masa ini, orang ramai perlulah berkhemah di tempat yang telah ditetapkan sahaja, ini berkaitan isu keselamatan dan kebersihan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular di media sosial apabila seorang pengguna akaun Tik Tok berkongsikan video yang memaparkan satu kawasan pantai di daerah yang dipenuhi dengan pengunjung yang sedang berkhemah meskipun terdapat papan tanda amaran larangan untuk aktiviti berkenaan dijalankan di kawasan berkenaan.
Lebih mengecewakan pengguna TikTok tersebut apabila kawasan tersebut dipenuhi dengan sampah yang tidak diuruskan dengan baik oleh pengunjung selain kemudahan awam seperti wakaf turut dijadikan tempat perkhemahan.
Sementara itu, Nicole Tan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima dan video yang dipaparkan itu, kejadian berlaku di Pantai Cahaya Negeri yang merupakan salah satu kawasan pantai tumpuan pengunjung selain Pantai Telok Kemang dan Pantai Tanjung Biru.
“Aktiviti berkhemah hanya boleh dilakukan di kawasan kawasan yg dibenarkan di mana lebih terkawal dengan adanya operator yang mengendalikan kawasan tersebut seperti di Pantai Batu 4 dan Pantai Purnama di Batu 9.
“Namun seperti sedia maklum lambakan pengunjung pantai dan trend perkhemahan terbuka yang menjadi ikutan pada masa kini adakalanya menimbulkan kesukaran untuk dikawal memandangkan rata-rata pengunjung telah menyediakan kelengkapan awal bersama keluarga.
“Adalah dinasihatkan kepada semua pengunjung untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengumpul sisa sampah dalam plastik sampah selain tidak menggunakan kemudahan awam sebagai lokasi berkhemah bagi menjaga keharmonian bersama,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, kerja-kerja pembersihan sentiasa diberi keutamaan di kawasan pantai ini terutama untuk tempoh cuti perayaan dan musim cuti sekolah.
“Kemudahan tong roro sebagai langkah kawalan lambakan sampah yang dijangka berlaku dengan pertambahan pengunjung di samping mengelakkan kelewatan lori sampah mengutip sampah kesan kesesakan sepanjang laluan jalan utama di daerah ini,” katanya.-UTUSAN.