Air Sungai Tembeling melimpah dataran Kampung Bantal, penduduk pesisir sungai mula berjaga-jaga - Utusan Malaysia

Air Sungai Tembeling melimpah dataran Kampung Bantal, penduduk pesisir sungai mula berjaga-jaga

PEMILIK kedai kopi dan makanan sedang memantau premis yang mula dilimpahi air Sungai Tembeling di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk di pesisir Sungai Tembeling di beberapa buah perkampungan mukim Ulu Tembeling mula berwaspada berdepan banjir apabila siren awal Jabatan Pengairan Saliran (JPS) berbunyi pukul 11.05 malam tadi di Kampung Bantal di sini.

Sehingga pagi ini, air Sungai Tembeling semakin meningkat dan arus deras menghanyutkan reba pokok tumbang dan kayu reput yang mengganggu aktiviti pengangkutan bot penambang di situ.

Air Sungai Tembeling mula melimpah ke kawasan menempatkan kedai makanan, kedai runcit, wakaf menunggu bot penambang, pusat inap dan beberapa rumah penduduk di pesisir sungai bermula pukul 12 tengah malam tadi.

Penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 45, berkata, senario itu sudah dijangkakan oleh penduduk di situ berikutan air Sungai Tembeling mula naik apabila hujan lebat turun pada pukul 1.40 petang semalam sehingga hari ini.

“Hal ini sinonim bagi penduduk di pesisir sungai ini khususnya di Kampung Bantal dan Kampung Sepia sudah menjangkakan air sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik setiap kali penghujung tahun ketika Monsun Timur Laut.

“Kita sudah mengambil sikap berjaga-jaga apabila mendengar siren pertama JPS pukul 11.05 malam tadi menandakan perlu berwaspada kemungkinan air akan naik ke paras bahaya sekiranya hujan masih turun lebat di kawasan ulu sungai,” katanya di Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.

Menurut Jamizan, air Sungai Tembeling sudah membanjiri kawasan dataran Kampung Bantal namun pemilik kedai makanan, kedai runcit dan beberapa premis sudah pun memindahkan peralatan penting serta barang perniagaan ke tempat tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kemungkinan kawasan dataran kampung ini akan dilimpahi air Sungai Tembeling pada sebelah petang berikutan hujan masih turun sehingga ini,” katanya.

Seorang peniaga kedai kopi Kampung Bantal, Apran Amat, 78, berkata, dia sudah mengalih peralatan berniaga di tempat tinggi memandangkan keadaan air Sungai Tembeling semakin naik sejak semalam.

“Saya cuma mengemas peralatan berniaga dan tidak memindahkan ke tempat lain kerana kedai kopi ini telah dipasang tong pelampung yang akan timbul apabila air melimpah di dataran kampung ini,” katanya.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu sejak dua minggu lalu menyebabkan paras air Sungai Tembeling turun dan naik, tetapi sejak petang semalam air sungai itu terus meningkat sehingga melimpah masuk ke dataran kampung tersebut.

Sementara itu, portal Laman Web Rasmi Public Info Banjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mencatatkan paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan Kampung Bantal setinggi 65.47 meter pada pukul 8.30 pagi hari ini, melebihi paras waspada dan menghampiri paras amaran, 66 meter.

Portal itu juga memaklumkan keadaan paras air Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub juga mencatatkan paras kenaikan, iaitu 133.63 meter pada pukul 8.30 pagi hari ini, menghampiri paras amaran 134.16 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya