Agong minta rakyat jangan lalai lonjakan Covid-19 - Utusan Malaysia

Agong minta rakyat jangan lalai lonjakan Covid-19

Yang di-pertuan Agong minta rakyat jangan lalai dengan lonjakan jangkitan Covid-19. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong gusar jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa sehingga boleh menyebabkan jangkitan kes Covid-19 terus meningkat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin berkata, melihat perkembangan  Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, Seri Paduka menasihatkan rakyat khususnya golongan rentan, warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Selain kawalan kendiri tersebut, individu bergejala disaran mengelakkan ‘3S’ iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes Covid-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim percutian sekolah yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan dari 10 Disember hingga 16 Disember lalu, kes Covid-19 adalah seramai 20,696 pesakit dengan seramai 151 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Menurut Zahari, Seri Paduka turut menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, memantau rapi kes jangkitan virus ini di seluruh negara dan mengeluarkan kenyataan, cadangan serta arahan berkaitan, bergantung kepada situasi semasa.

“Sehubungan dengan itu, rakyat juga disaran supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes Covid-19 di negara ini dan arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan daripada semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya