47,000 pengundi DUN Bukit Kepayang digalak daftar dalam PADU - Utusan Malaysia

47,000 pengundi DUN Bukit Kepayang digalak daftar dalam PADU

NICOLE Tan Lee Koon (dua dari kanan) menunjukkan bahan cetak kempen pendaftaran sistem pangkalan data utama (PADU) di Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 47,000 pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang di sini menjadi sasaran untuk didaftarkan dalam sistem pangkalan data utama (PADU) yang dibangunkan oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, walaupun sistem berkenaan hanya akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari nanti, pihaknya mengambil langkah proaktif mengadakan kempen pendaftaran mulai hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri berkata, Pusat Khidmat DUN itu yang terletak di Taman Bukit Kepayang dekat sini akan menerajui kempen berkenaan selain cadangan membuka kaunter di kawasan yang menjadi tumpuan awam.

“Di kawasan yang mempunyai liputan internet, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian dan kami akan menyediakan borang untuk kawasan yang tidak mempunyai liputan internet.

“Sudah tentu sasaran ketika ini ialah dalam kalangan kira-kira 47,000 pengundi dalam DUN Bukit Kepayang,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang di sini hari ini.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pembangunan PADU bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Beliau memberitahu, PADU akan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia.

Nicole Tan menarik perhatian, pihaknya percaya PADU akan memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat dan tidak hanya terhad kepada para penerima bantuan kerajaan semata-mata.

“Ia adalah rangkaian data yang mampu memperkasa sistem sosial secara menyeluruh dengan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Saya menggesa agar rakyat menjayakan usaha kerajaan ini dengan mendaftar di PADU,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya