KOTA BHARU: Polis merampas 32,000 biji pil kuda bernilai RM197,230 selepas menahan dua lelaki dalam serbuan berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Pendek Batu 5, Jalan Salor dekat sini semalam.
Dalam serbuan pukul 5 petang itu,
kedua-dua suspek berusia 36 dan 29 tahun itu ditahan sejurus keluar dari sebuah kereta jenis Perodua MyVi.
Timbalan Ketua Polis negeri Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut membawa kepada penemuan bungkusan plastik putih mengandungi 2,000 pil yaba.
Menurutnya, sambil dipandu arah oleh salah seorang suspek polis telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Kampung Padang Embun, Pasir Mas.
“Pemeriksaan keatas sebuah bilik di dalam rumah berkenaan telah menjumpai lima bungkusan di dalam laci.
“Pemeriksaan lanjut keatas bungkusan itu membawa kepada penemuan 30,000 biji pil yaba,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Ali memberitahu, saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek negatif dadah.
Katanya, bagaimanapun salah seorang suspek itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait dadah.
“Kedua-dua suspek direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kereta yang digunakan suspek telah disita untuk sisatan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN