KOTA BHARU: Sebanyak 16 lokasi di Rantau Panjang ‘bergelap’ susulan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik bagi memastikan keselamatan para pengguna.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh TNB Careline menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi agensi berkenaan sebenar tadi.
Menurutnya, penutupan belakan itu bermula pada pukul 10 malam.
“Antara kawasan terlibat ialah Banggol Kulim, Kubang Rambutan, Degong , Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Pauh, Padang Nyior dan Tanjung Erat.
“Selain itu, SK Lubuk Setol, Air Teniat, Gual Tambun, Balai Polis Lubok Setol, Pondok Gual Dalam, Lubuk Setol, Mountain Ore, Kampung Rahmat, SK Kampung Rahmat dam Limau Purut turut ditutup,” katanya.
Ujar TNB, sekiranya banjir semakin bertambah buruk , berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.
TNB memberitahu, sehubungan dengan itu orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir.
Sementara itu seorang penduduk Nasran Nasuha mengakui peningkatkan paras air Sungai Golok pada banjir kali ini lebih cepat berbanding minggu lalu.
Katanya, ketika ini suasana di Rantau Panjang masih terkawal dan hanya beberapa kawasan yang dipotong bekalan elektrik.-UTUSAN