SERAMAI 141,790 pemilih berdaftar akan keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu mereka untuk tempoh empat tahun akan datang.
Daripada jumlah pemilih berdaftar tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 141,382 orang pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan dan 12 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Selama 14 hari tempoh kempen ditetapkan SPR bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November lalu.
SALURAN
Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang hari ini, sebanyak 53 pusat mengundi membabitkan 248 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.
PRK Parlimen Kemaman menyaksikan 387 anggota polis dan enam anggota tentera mengundi secara pos pada 23 dan 24 November lalu bagi memberikan tumpuan kepada operasi menyelamat jika berlaku banjir.
Hanya tiga individu mengundi awal pada PRK Kemaman membabitkan isteri kepada anggota tentera di Balai Polis Kijal, 28 November lalu.
Pilihan raya ini membabitkan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
Bagi calon bertanding, kedua-duanya tidak mengundi di Kemaman. Ahmad Samsuri pengundi berdaftar di Besut manakala Raja Mohamed Affandi difahamkan di Hulu Langat, Selangor.
BATAL
Kerusi P.040 Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan penyandang kerusi Parlimen itu dari Pas, Alias Che Hamid pada 26 September lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 18 November penamaan calon dan 2 Disember hari pengundian PRK Parlimen Kemaman membabitkan 141,790 pemilih berdaftar.
Pada PRU15 lalu, Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.
Alias berjaya menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian.
Kini, segalanya terletak atas budi bicara pengundi di kawasan berkenaan setelah tempoh kempen selama 14 hari dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap calon bertanding menerusi pelbagai medium termasuk media sosial, kempen rumah ke rumah dan program menyantuni rakyat.
Soal calon, isu-isu setempat dan pembangunan yang dibawa hendaklah diberi perhatian dan seiring, jangan masa berkempen baru nampak muka tetapi bila sudah menang kembali ke ‘sarang’ untuk berehat dan meraikan kemenangan.
Imam al-Ghazali pernah berpesan: “Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain.”
Jika memilih berdasarkan emosi, rakyat Kemaman yang rugi. Pilihlah pemimpin yang ikhlas, bertanggungjawab, berwawasan dan berpandangan jauh serta memastikan semua rakyat pelbagai kaum di kawasan ini selesa dan bahagia di bawah kepemimpinannya. – UTUSAN