12 tahun ceroboh tanah kerajaan, kedai santan, cuci kenderaan dirobohkan - Utusan Malaysia

12 tahun ceroboh tanah kerajaan, kedai santan, cuci kenderaan dirobohkan

BANGUNAN kedai menjual santan dan mencuci kenderaan dirobohkan di Bandar Serting, Jempol selepas ia didapati dibina serta beroperasi secara haram di atas tanah milik kerajaan sejak 12 tahun lalu..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sebuah bangunan kedai yang menjual santan dan mencuci kenderaan di Bandar Serting di sini yang dibina dan beroperasi secara haram di atas tanah kerajaan sejak 12 tahun lalu dirobohkan hari ini.

Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin berkata, ia menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) iaitu pencerobohan atas tanah kerajaan yang melibatkan seluas 408 meter persegi.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini telah menerima pelbagai aduan termasuk daripada orang awam mengenai binaan kedai menjual santan dan tempat mencuci kereta tanpa kebenaran tersebut.

“Kedua-dua binaan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan ini turut mengganggu kerja-kerja naik taraf landskap Bandar Serting yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Jempol,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelas Nawal, kedua-dua bangunan kedai itu milik seorang lelaki tempatan dan telah diberikan beberapa notis pengosongan termasuklah sebelum ini namun tidak diendahkan oleh pemiliknya. 

Menurutnya, penceroboh telah beberapa kali diberikan notis pengosongan selain beberapa siri rundingan turut sama dibuat.

“Tetapi dia masih ingkar dan enggan mengosongkan tanah kerajaan yang dicerobohinya. Bagaimanapun sepanjang kerja-kerja perobohan dilaksanakan pemilik perniagaan telah memberikan kerjasama baik,” katanya. 

Katanya, operasi bersepadu berkenaan telah diketuai oleh Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol bersama 11 agensi yang lain.

“Tindakan penguatkuasaan dijalankan bermula pukul 8.30 pagi dengan merobohkan binaan. Perobohan turut dilaksanakan ke atas binaan garaj kereta di kawasan berhampiran kerana ia juga dibina tanpa kebenaran,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya