SEREMBAN: Seramai 114 orang asnaf dengan 77 daripadanya dari negeri ini terharu dan gembira apabila terpilih untuk menunaikan umrah ke Tanah Suci menerusi program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 Andalusia dengan kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Ida Riswana Idris, menerusi program itu, kesemua asnaf terlibat dibawa menunaikan umrah secara percuma selain turut menerima wang belanja.
Jelasnya, program berkenaan merupakan visi syarikat berkenaan untuk menyantuni seramai mungkin umat Islam dalam mengerjakan umrah.
“Kami tidak tidak lupa kepada mereka yang sebenarnya mahu mengerjakan umrah tetapi tiada kemampuan (kewangan). Sekiranya tiada bantuan, mereka mungkin tidak dapat menjejakkan kaki ke sana (Mekah dan Madinah).
“Jadi dalam program tanggungjawab sosial korporat ini, setiap tahun kami peruntukan sebahagian daripada kewangan kami iaitu sebanyak RM1 juta bagi perbelanjaan untuk menyantuni mereka dari awal hingga akhir,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh Andalusia itu bagi menyantuni golongan asnaf di negeri ini untuk mengerjakan umrah.
“Kriteria pemilihan kami ialah individu asnaf berusia 60 hingga 75 tahun berpendapatan bawah RM900 sebulan yang sihat tubuh badan untuk menyertai program ke tanah suci ini,” katanya.
Seorang peserta yang terpilih, Abdul Manan Baharudin, 71, yang berasal dari Kampung Jijan, Nilai, di sini memberitahu, pertama kali dia menerima panggilan dari pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk terpilih pada program itu dua minggu yang lalu.
“Saya memang bersyukur kerana kalau tiada tajaan seperti ini, memang tiada harapan untuk saya ke sana, memang saya tidak mampu namun Allah SWT telah membuka jalannya.
“Pada mulanya saya ingatkan scammer, kemudian tiga hari kemudiannya saya terima panggilan lagi yang meminta saya hadir ke pejabat Baitulmal di Nilai. Alhamdulillah, saya mendapat penerangan di sana dan mempelajari cara mengerjakan umrah,” katanya yang merupakan bekas tentera.
Bagi seorang ibu tunggal, Kalsom Md Ali, 61, dari Kampung Tenai, Gemencheh, Tampin pula, berkata, dia mahu menggunakan peluang yang ada ini untuk berdoa di hadapan Kaabah untuk dua orang anaknya yang telah pun meninggal dunia.
“Sudah lama saya simpan impian ini, tidak sangka jadi kenyataan. Sudah tiga tahun anak sulung saya, Nurul Shamira Mohd. Rajuna meninggal dunia akibat kemalangan dan meninggalkan seorang anak yang kini berusia enam tahun di bawah jagaan saya.
“Sebelum itu pula (2017), anak saya Nurul Shazlyna meninggal dunia semasa di tingkatan lima kerana demam panas. Kini, hanya anak bongsu perempuan saya yang mencari pendapatan buat kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan.
Kesemua peserta program berkenaan akan berangkat untuk mengerjakan umrah pada hari ini.-UTUSAN.