KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 anggota dan pegawai polis Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ dalam operasi khas membanteras warga asing di Jalan Silang di sini, hari ini.
Kepungan bermula pada pukul 11 pagi itu bagi menyerbu kebanjiran warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ membuka perniagaan selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan.
Wartawan Utusan Malaysia yang turut mengikuti operasi mendapati anggota dan pegawai polis berpakaian keselamatan lengkap bersenjata dan peralatan khas dilihat mula memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan tersebut.
Difahamkan serbuan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.
Difahamkan kebanyakan warga asing membabitkan warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.
Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.
Turut ditemukan pelbagai jenis ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan di premis tersebut tidak berpenghuni.
Malah, serbuan turut menemukan premis dijadikan bilik sewa dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik dipercayai dihuni warga asing.
Difahamkan, setakat pukul 1 petang, sekurang-kurangnya 500 warga asing ditahan sebelum dibawa Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.- UTUSAN