KUANTAN: Sebanyak 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang berada dalam kategori sakit atau terbengkalai.
Projek terlibat adalah di Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.
Ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, projek sakit atau terbengkalai terbabit secara keseluruhannya melibatkan 1,850 buah rumah dan dijual dengan harga RM120,000 sebuah.
Beliau berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan projek berkenaan dianggarkan berjumlah RM222 juta.
“Ia merupakan projek yang besar dan melibatkan anak-anak peneroka Felda generasi kedua dan ketiga yang sekian lama menunggu rumah
“Saya berjumpa dengan kontraktor-kontraktor terlibat dan hasil dapatan adalah mereka semua tidak mendapat bayaran dari pemaju.
“Kesemua 10 projek adalah di bawah satu pemaju. Ada projek-projek yang masih belum mendapat kebenaran merancang (KM) walaupun surat setuju terima (SST) diberi pada Mac 2022 kepada semua kontraktor utama dan dijangka siap dalam masa 18 bulan yang berakhir pada bulan ini,” katanya pada sidang DUN Pahang di sini semalam.
Jasri dalam pada itu mempersoalkan, bagaimana hanya satu pemaju dipilih untuk semua 10 projek berkenaan.
“Adakah ‘due diligence’ dilakukan sama ada syarikat ini layak memajukan projek dengan GDV RM222 juta
“Turut dipersoalkan, adakah syarikat pemaju ini ‘Bankable’ untuk mendapatkan ‘Bank Facilities’ atau kemudahan pinjaman kewangan?
“Saya memohon pihak kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan projek-projek ini dapat disiapkan bagi kepentingan generasi kedua Felda yang begitu memerlukan tempat tinggal,” katanya. – UTUSAN