KUALA LUMPUR: Masa depan jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dalam program Road to Gold (RTG) masih lagi selamat selepas dia dikekalkan dalam program elit bagi menuai emas di temasya Olimpik.
Bagaimanapun, Zii Jia diberi tempoh sehingga 14 November ini untuk menandatangani perjanjian komitmen dengan jawatankuasa RTG sekiranya mahu mendapat manfaat penuh pada masa akan datang.
Penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata berkata, Zii Jia telah menunjukkan peningkatan sejak dimasukkan dalam program RTG Jun lalu dan kedudukan dalam ranking dunia juga kembali naik.
“Zii Jia telah menunjukkan peningkatan prestasi dan dia masih lagi dikekalkan dalam program ini. Cuma, dia masih belum menandatangani perjanjian komitmen seperti yang telah dilakukan oleh atlet-atlet RTG yang lain.
“Justeru, pihak jawatankuasa RTG memberi tempoh kepadanya sehingga sehingga 14 November depan sebagai tarikh akhir untuk dia menandatangani dokumen tersebut.
“Kita telah menghantar emel untuk membuat perjumpaan tetapi dia agak sibuk dan harap dia dapat memberikan sedikit masa bertemu kami dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akbar pengumuman khas Jawatankuasa RTG yang turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Sementara itu, Hannah turut mengesahkan bahawa Zii Jia hanya diberikan kemudahan asas berkaitan sains sukan sebelum ini dan tidak menerima sebarang elaun tambahan selagi belum menandatangani perjanjian tersebut.
“Sejak Jun lepas, Zii Jia telah diberikan kemudahan asas RTG tetapi tidak menerima elaun. Pihak kami sangat berharap dia dapat berbuat demikian secepat mungkin kerana atlet lain semua sudah menandatangani perjanjian tersebut,” katanya. – UTUSAN