Young Tigers tempat ketujuh tewaskan Afrika Selatan 3-2

Young Tigers tempat ketujuh tewaskan Afrika Selatan 3-2

Pemain Malaysia Andywalfian Jeffrynus dihalang pemain Afrika Selatan, Damian Knott pada perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Setelah mengharungi perlawanan yang mengecewakan, skuad remaja kebangsaan akhirnya menebus maruah mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Afrika Selatan dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini petang tadi.

Kemenangan pertama dalam SOJC itu membolehkan pasukan tuan rumah menamatkan saingan di tempat ketujuh dan berjaya elak kedudukan tercorot.

Pada suku pertama perlawanan itu, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang setelah masing-masing cuba mendapatkan gol pendahuluan untuk berada di hadapan.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi gol padang Viwe Mbata yang bertindak pantas menguis bola melepasi kawalan penjaga gol, Rafaizul Sani.

Kelebihan skuad bimbingan Guy Elliot itu tidak bertahan lama apabila Young Tigers menyamakan kedudukan pada minit ke-12 apabila Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar membiaskan pukulan Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib.

Pada separuh masa pertama itu, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan walaupun Afrika Selatan memperoleh lima pukulan sudut penalti manakala skuad remaja kebangsaan mendapat empat peluang.

Bersambung suku ketiga, pasukan tuan rumah tidak berputus asa melancarkan serangan dan hasilnya berjaya memperoleh gol pada minit ke-39 setelah Harris Iskandar Osman yang mendapat umpanan Mughni Mohamad Kamal bijak meletakkan bola ke dalam gawang lawan.

Kelebihan yang dimiliki skuad remaja kebangsaan itu terhapus apabila Afrika Selatan bangkit menyamakan kedudukan apabila Cameron Le Forestier menerusi gol pada pada minit ke-49.

Mughni yang membuat umpanan gol kedua itu muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan buat Young Tigers pada minit ke-56 sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan dalam SOJC musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya