Wujud jawatankuasa tangani konflik manusia dan hidupan liar - ADUN Galas

Wujud jawatankuasa tangani konflik manusia dan hidupan liar – ADUN Galas

KERAJAAN Kelantan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah hidupan liar yang berleluasa di Gua Musang, Kelantan ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang juga Ketua Pembangkang mencadangkan Kerajaan Kelantan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah hidupan liar ketika ini.

Mohd. Syahbuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu sangat penting kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan, keselamatan, ketenteraman dan keamanan rakyat terutama di Jajahan Gua Musang.

“Kita sering mendengar ulasan atau alasan agensi terlibat bahawa mereka tidak mempunyai cukup kakitangan dan kelengkapan terutamanya perangkap apabila melibatkan harimau belang.

“Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan segera di antara Pejabat Menteri Besr, Setiausaha Kerajaan (SUK) dan agensi berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian seberapa segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin memberitahu, situasi terkini gangguan harimau belang di Gua Musang menyebabkan rakyat kini takut untuk keluar rumah dan menjalankan aktiviti harian.

“Sekarang ini rakyat di Gua Musang takut nak keluar menoreh getah dan sebagainya. Mereka tak berani keluar bukan kerana cuaca hujan tetapi kerana harimau belang kerana telah berlaku beberapa kejadian yang meragut nyawa.

“Juga sudah dikenal pasti kemunculan harimau belang di beberapa lokasi. Kerana itu sebuah jawatankuasa khas perlu diwujudkan segera. Kalau perlu beli perangkap… belilah dan kerajaan negeri bantulah sebab ini melibatkan ketenteraman dan keamanan rakyat,” ujarnya.

Utusan Malaysia 11 November lalu melaporkan seorang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wak, Pos Pasik, Gua Musang sehari sebelumnya.

Ia disusuli seorang lelaki warga Myanmar, Ah Ka Soe Ya, 22, yang menjadi mangsa kedua dalam tempoh kurang 48 jam dalam kejadian di ladang Kampung Meranto, Gua Musang pada 11 November lalu.

Pada 4 Oktober lalu, seorang lelaki Orang Asli, Pisie Amud, 25 ditemukan maut pada ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik, Gua Musang dengan kesan cakaran harimau di bahagian kepala dan badan.

Terdahulu, pada 12 Mei lalu media melaporkan mayat lelaki Orang Asli, Halim Asin, 27, ditemukan dalam keadaan telungkup di Kuala Sungai Tunggul, Gua Musang dan disahkan maut akibat serangan harimau pada 14 Mei lalu selepas selesai proses bedah siasat.

Terbaharu, Utusan Malaysia pada 14 November lalu melaporkan seorang pemuda, Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, cedera selepas berlari sejauh 100 meter sambil berkaki ayam selepas motosikal ditungganginya dipercayai merempuh seekor harimau belang dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Jeli pada 13 November.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya