JEMPOL: Seorang wanita berusia 61 tahun yang juga peneroka Felda di daerah ini kerugian sebanyak RM13,000 akibat terpedaya dengan penipuan Love Scam menerusi media sosial bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang seorang balu berkenalan melalui WhatsApp dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Ahmed Hassan dan tinggal di London.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah terpedaya dengan sindiket Love Scam dan ditaburkan janji manis oleh individu tersebut. Ahli sindiket itu kemudiannya memaklumkan ingin menghantar bungkusan sebagai tanda perkenalan dan mahu menjalinkan hubungan lebih serius dengan mangsa.
“Pada 26 Oktober lalu, lelaki itu memberitahu akan memberi pakej hadiah kepada mangsa dan wang tunai sebanyak AS$50,000
“Mangsa kemudiannya menerima pesanan menerusi WhatsApp dari nombor yang tidak diketahui dan memaklumkan barang milik mangsa telah sampai di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan barang tersebut telah dirampas oleh pihak kastam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelas Chang Hook lagi, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran sejumlah wang yang dikatakan sebagai pembayaran kepada pihak ejen serta kastam untuk melepaskan barang tersebut.
“Bermula 30 Oktober sehingga 10 November lalu, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM13,000 ke nombor akaun seorang individu untuk menerima bungkusan tersebut.
Menurutnya, pada 11 November kira-kira pukul 4.14 petang, mangsa sekali lagi dipaksa untuk membayar sebanyak RM10,000 lagi namun mangsa yang merasakan telah tertipu datang ke balai polis untuk membuat laporan pada hari yang sama.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.