Wajib pantau program pemulihan alam sekitar, pemeliharaan habitat - Al-Sultan Abdullah

Wajib pantau program pemulihan alam sekitar, pemeliharaan habitat – Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Eco-Schools Malaysia dan Pelan Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Integrasi Temerloh di Temerloh, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pusat dan negeri disaran bekerjasama bagi memantau projek pemulihan alam sekitar dan pemeliharaan habitat di hutan demi memastikan pelaksanaannya tidak memperoleh kegagalan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda menyarankan kerajaan Pusat dan negeri mewujudkan program khas untuk memantau perkara itu.

Seri Paduka bertitah, pemantauan wajib dilakukan demi memastikan program itu berjaya dan mencapai matlamat pelaksanaannya.

“Dalam hal ini saya ingin menyeru iaitu usaha memelihara, memulihkan ekosistem alam semula jadi dan usaha memelihara habitat khusus haiwan-haiwan dalam hutan perlu diberi pengiktirafan, galakan dorongan oleh kerajaan dan swasta.

“Ini amat penting kerana walaupun kadang kala kita nampak keputusan akhirnya, tapi hakikatnya ia hanya akan dapat kita dapat saksi atau rasai beberapa tahun akan datang, bukan sekelip mata,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Eco-Schools Malaysia dan Pelan Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Integrasi Temerloh di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda berharap agar saranan Seri Paduka berhubung pemantauan pemulihan alam sekitar dan pemeliharaan habitat diambil serius.

“Saranan saya ini harap diambil kira secara serius, bukan kita hadir lancar, makan dan balik. Kita mahu program ini berjaya dan menjadi model kepada seluruh dunia,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berterima kasih kepada Green Growth Asia Foundation selaku pengendali kebangsaan yang melaksanakan Program Eco-Schools Malaysia.

Titah baginda, program tersebut begitu penting dalam ekosistem pendidikan negara bagi memberikan kesedaran kepada anak-anak muda khususnya pelajar sekolah.

“Saya dimaklumkan program ini (Eco-School) sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan inisiatif Green Growth Asia Foundation telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini satu pengiktirafan tertinggi yang sudah tentu program ini adalah program terulung yang dilaksanakan oleh Green Growth Asia Foundation di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya