KOTA BHARU: Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (Kuasa) melihat cadangan Kerajaan Kelantan untuk mengubah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dibimbangi boleh mengundang kepada kemusnahan berskala besar di negeri ini.
Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin berkata, keluasan kawasan yang dicadangkan itu dianggarkan lebih kurang 81 peratus sekali gus menyebabkan kawasan hutan di negeri ini terdedah kepada aktiviti kemusnahan.
“Kelantan masih mempunyai kawasan hutan simpan yang besar iaitu lebih 600,000 hektar manakala kawasan yang dicadangkan untuk perubahan atau pemansuhan KSAS adalah lebih 500,000 hektar.
“Situasi itu, akan menyebabkan berlaku penebangan hutan secara habis atau botak. Paling dikhuatiri adalah kebanyakan hutan simpan di Kelantan berada di Banjaran Titiwangsa yang mana ekosistemnya memang sangat sensitif.
“Berpandukan dokumen rancangan fizikal negara, kebanyakan hutan simpan di negeri ini dikategorikan sebagai KSAS tahap satu yang tidak membolehkan sebarang aktiviti dijalankan kecuali ekopelancongan serta penyelidikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika menghantar bantahan terhadap cadangan mengubah KSAS di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Hafizudin memberitahu, sebahagian lagi kawasan hutan simpan di negeri ini turut dikategorikan sebagai KSAS tahap dua yang hanya membolehkan aktivi pembalakan secara tebangan memilih dijalankan.
Katanya, Kuasa risau cadangan pemansuhan KSAS oleh kerajaan negeri akan memberi ruang kepada penebangan hutan secara tidak terkawal dan kesannya akan membahayakan penduduk setempat serta rakyat Kelantan secara keseluruhannya.
“Kita risau pemansuhan KSAS akan menyebabkan masalah banjir serta bekalan air bersih semakin meruncing dan perkampungan Orang Asli semakin terdedah kepada serangan hidupan liar.
“Perubahan KSAS dalam skala besar ini tidak pernah berlaku di negeri lain. Kelantan merupakan negeri pertama melakukannya. Saya takut sekiranya kerajaan negeri meluluskan cadangan ini, ia akan ditiru oleh negeri lain dan akan menjadi ‘precedent’,” ujarnya.
Hafizudin menjelaskan, proses bantahan melibatkan dua peringkat dengan proses pertama adalah peringkat penyertaan awam yang mana orang ramai akan menghantar borang bantahan sepertimana dilaksanakan pada hari ini.
“Tarikh tutup untuk peringkat penyertaan awam adalah pada 11 November nanti dan selepas itu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa akan memanggil semua pihak yang menghantar borang bantahan untuk proses bantahan lisan,” ujarnya.-UTUSAN