PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mendedahkan tidak semua pemain kebangsaan yang berlatih di badan induk itu mempunyai nafsu dan pemikiran seperti jaguh dunia.
Tanpa menamakan pemain tertentu, Rexy menempelak sebilangan daripada mereka yang berasa terlalu selesa dengan kedudukan mereka dalam skuad kebangsaan.
Tambah mengecewakan Rexy, ada di antara mereka tidak menyuarakan keadaan sebenar diri masing-masing sebelum dikesan menghadapi kepenatan melampau selepas menyertai beberapa kejohanan.
“Ini adalah dilema yang dihadapi jurulatih. Apabila jurulatih memutuskan untuk menghantar pemain menyertai banyak kejohanan bagi membantu melonjakkan ranking mereka, pemain perlu suarakan pendirian jika merasakan ia akan menjejaskan prestasi mereka.
“Jurulatih tidak tahu keadaan sebenar tubuh badan mereka, pemain yang lebih tahu. Kalau rasa tubuh badan mereka sudah tidak boleh, beritahu.
“Pemain yang ada mentaliti juara akan beritahu kepada jurulatih mereka bahawa mereka tidak boleh sertai kejohanan ini tetapi mereka akan berusaha di kejohanan seterusnya.
“Jika pemain tidak suarakan pendirian mereka, jangan nanti bila apa yang diharapkan tidak dicapai, pasti jurulatih yang akan dipersalahkan,” jelas Rexy yang ditemui pemberita di ABM, Bukit Kiara kelmarin.
Ketika ini, antara pemain yang dilihat mempunyai pemikiran sebagai juara dan keinginan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi adalah perseorangan lelaki meningkat naik, Ng Tze Yong.
Tahun ini sahaja, Tze Yong sudah berjaya menumbangkan beberapa nama besar seperti pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen, juara dunia 2021, Loh Kean Yew serta penyandang pingat gangsa kejohanan dunia, Zhao Jun Peng namun masih belum berpeluang untuk meraih sebarang gelaran juara.
“Selepas Tze Yong mara ke final di Terbuka Artik di Finland, saya makan bersamanya. Ketika itu dia luahkan kepada saya yang dia sedar perlu kuat dari segi fizikal untuk bermain sehingga final.
“Ini bermaksud dia faham apa yang perlu dilakukan untuk menjadi pemain utama dunia tetapi dia tidak boleh hanya sekadar bercakap sebaliknya perlu buktikan dengan bekerja lebih keras,” tambahnya. – UTUSAN