SEREMBAN: Gara-gara tidak memberikan wang untuk dipinjam, seorang lelaki ditetak menggunakan senjata parang oleh rakannya sendiri dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Pekan Bukit Pelandok, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham berkata, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditahan polis awal pagi tadi iaitu kurang 24 jam selepas kejadian di sebuah rumah di Taman Murni, Chuah di sini pada pukul 1.15 pagi tadi.
“Tangkapan dibuat selepas Kaunter Aduan Balai Polis Bukit Pelandok menerima panggilan telefon daripada orang awam lebih kurang pukul 6.15 petang semalam memaklumkan mangsa seorang lelaki telah ditetak.
“Mangsa dan suspek merupakan rakan yang dikenali dan punca kejadian berlaku ekoran mangsa enggan memberikan suspek meminjam wang.
“Akibatnya, suspek yang ketika itu dalam keadaan pengaruh alkohol telah bertindak melanggar dan menyerang mangsa menggunakan senjata parang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini
Aidi Sham berkata, siasatan mendapati, suspek yang ditahan mempunyai 12 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah serta masih dikehendaki bagi satu kes dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah Methamphetamine.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson dan permohonan reman diluluskan selama enam hari bermula hari ini sehingga 12 November untuk siasatan lanjut,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.