KEMAMAN: Tidak berlaku budaya ‘cah keting’ sehingga kini dalam kalangan ahli, pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Calon Barisan Nasional (BN), Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menegaskan, ini kerana beliau diterima baik semua ahli dan pimpinan parti gabungan dalam kerajaan perpaduan ketika ini.
“Saya tak rasa ‘keting’ saya sakit. Tapi beginilah makin dekat (hari pengundian) makin banyak benda dan perkara macam-macam keluar.
“Dalam pemerhatian saya, tidak berlaku cah keting malah saya bergerak bersama pergerakan pemuda dan UMNO Bahagian Kemaman pun ikuti saya. Jadi tidak wujud (cah keting),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pengundi di Teluk Kalong di sini hari ini.
Mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan sebagai berkata bahawa pihaknya tidak terlalu mengharapkan undi warga emas kerana yakin sokongan pengundi muda sudah cukup untuk mencapai kemenangan, Raja Mohamed Affandi berkata, setiap undi rakyat tanpa mengira golongan muda atau tua begitu berharga.
“Setiap undi akan dikira, tidak kira sama ada tua atau muda (pengundi). Saya berpandangan ia sesuatu perkara yang mesti dan pasti. BN sangat cakna terhadap pengundi muda dan tua. Mereka yang akan memberi kejayaan kepada BN,” katanya.
Pada Rabu, Abdul Hadi ketika berceramah di Dewan Sivik Kijal dilaporkan sebagai berkata, pihaknya tidak mengharapkan undi pengundi warga emas kerana sokongan padu diberikan golongan muda diyakini sudah cukup untuk memenangkan parti itu dalam PRK Kemaman.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan Raja Mohamed Affandi menentang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Abd. Hamid dari Pas pada September lalu. – UTUSAN