KOTA BHARU: Seorang rakyat Palestin yang fasih bertutur loghat Kelantan mengajak seluruh masyarakat Malaysia untuk terus berkongsi perkembangan terkini berkait dengan Gaza menerusi laman sosial Facebook, aplikasi Tiktok, WhatsApp dan Telegram masing-masing.
Abdallah Ismail, 38, atau Abe Loh berkata, perkongsian itu merupakan salah satu tanda sokongan dan solidariti kepada penderitaan rakyat Palestin yang sedang ditindas oleh rejim Zionis ketika ini.
“Perkongsian tersebut menjadi salah satu sumber kekuatan rakyat Palestin untuk terus berjuang melawan penindasan yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis.
“Selain itu saya berharap rakyat Malaysia dapat terus mengirimkan doa bagi mengiringi perjuangan penduduk Palestin. Pada masa sama bantuan kewangan masih lagi diperlukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Abe Loh yang 12 tahun menetap di Kelantan memberitahu, dia akan terus menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan Palestin.
Katanya, usaha itu bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat terkini dan sahih dari negara berkenaan secara terus.
“Walaupun tidak memikul senjata, namun ini adalah salah satu usaha kecil saya dalam melawan kekejaman rejim Zionis. Untuk makluman rumah ibu saya di Bandar Gaza telah musnah dibom.
“Bukan itu sahaja, sudah 12 hari saya tidak dapat berhubung dengan ibu. Biasanya kami berhubung menerusi aplikasi WhatsApp, waktu itu ibu masih lagi sihat walaupun berdepan dengan masalah bekalan air,” ujarnya.
Abe Loh berkata, lebih membimbangkan lagi salah seorang abangnya hilang tanpa khabar berita sejak 20 hari lalu.
Katanya, setiap hari dia akan berhubung dengan rakan-rakanya untuk mendapatkan perkembangan terkini. – UTUSAN