Teroka sinergi syarikat gergasi, pekebun kecil kelapa sawit- Anwar - Utusan Malaysia

Teroka sinergi syarikat gergasi, pekebun kecil kelapa sawit- Anwar

Anwar Ibrahim pada majlis merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) di ibu negara hari ini. - Foto Fauzi Baharuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneroka sinergi antara syarikat gergasi industri kelapa sawit yang lebih mantap, maju dan berjaya dengan pekebun kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana ia bukan sahaja dapat membantu kemajuan ekonomi negara dalam sektor kelapa sawit, tetapi kebajikan pekebun kecil.

Beliau berkata, ia berikutan prestasi memberangsangkan sektor kelapa sawit turut disumbangkan oleh pekebun kecil yang menyumbang 28 peratus daripada jumlah keluasan pengeluaran minyak sawit. 

“Saya harap pihak kementerian (Kementerian Perladangan dan Komoditi) dapat mempertimbangkan dengan serius perkara ini kerana pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya atas kapasiiti mereka (semata-semata) sudah tentu lebih sukar kerana penyelidikan, pemahaman dan cabaran industri secara amnya yang terhad.

“Jadi, saya ingin mengulangi bahawa pemberian awal sebanyak RM100 juta (Insentif Program Tanam Semula Sawit melalui Belanjawan 2024) ini, kini dengan sokongan pemain utama dalam industri, saya pasti ada kemungkinan peningkatan (sektor kelapa sawit), dengan syarat syarikat-syarikat ini berbuat demikian iaitu mempunyai beberapa bentuk sokongan dan sinergi dengan pekebun kecil dan saya percaya ini penting.

MEMAJUKAN

“Alasan kedua ialah kerana Ekonomi Madani memerlukan kita untuk memajukan kebajikan masyarakat secara amnya, dan kita tidak boleh terus melihat perbezaan ketara dalam ketidaksamaan antara syarikat yang paling berjaya dan mereka yang secara relatifnya lebih kecil, yang jumlahnya besar dan kadang-kadang jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah,” kata beliau,

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) di sini.

PIPOC 2023 dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Turut hadir  Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam majlis sama, Anwar turut melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS) yang dibangunkan oleh MPOB bagi membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan menjimatkan kos.

SIMS diwujudkan untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit, selain menggalakkan kawal selia kendiri, meminimunkan pengawasan kerajaan dengan ciri-ciri yang mesra pengguna.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia telah mempamerkan pelbagai teknologi untuk ladang kelapa sawit bagi menyamai Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang berkembang pesat. 

“Ini termasuk sistem SIMS untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan. 

“Industri kelapa sawit menghadapi banyak cabaran masa depan termasuk ancaman, isu perdagangan dan perubahan iklim.

“Bagaimanapun, saya optimis bahawa kita boleh mengatasi cabaran ini jika kita terus bekerjasama dalam memanfaatkan penemuan teknologi dan pengeluaran yang mampan,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya