Pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan akibat telekung tersangkut sering keluar bersama

Pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan akibat telekung tersangkut sering keluar bersama

FATIN Hazirah Saleh menujukkan gambar ayah dan ibunya yang terbabit dalam kemalangan ketika mahu ke masjid dalam kejadian di Jalan Juasseh Terusan Seberang, Kuala Pilah, semalam. Bapanya, Saleh Ali, meninggal dunia ketika diberikan rawatan HTAN, Kuala Pilah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas akibat kain telekung tersangkut pada tayar kenderaan berkenaan, sering bersama ke mana sahaja termasuk ke masjid sejak kedua-duanya bersara.

Dalam kejadian di Jalan Juasseh Terusan Seberang, di sini itu, Saleh Ali, 64, yang menunggang motosikal berkenaan meninggal dunia ketika diberikan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah manakala isterinya, Rosni Johari, 60, pula mengalami kecederaan di bahagian muka dan mulut.

Anak kedua kepada pasangan terbabit, Fatin Hazirah, 32, berkata, bapanya merupakan pesara Felda manakala ibunya merupakan ustazah di sekolah rendah dan kedua-duanya sering keluar bersama-sama.

“Sejak bersara, kalau ayah keluar, memang emak akan teman, tidak pernah ayah keluar seorang atau emak tinggal seorang. Ayah dan emak juga sudah sempat menunaikan ibadah haji bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Terusan Seberang, Juasseh, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, ketika kejadian pasangan tersebut dalam perjalanan ke masjid bagi menunaikan solat maghrib.

Jelasnya, siasatan awal mendapati telekung pembonceng telah termasuk di bahagian tayar belakang motosikal lalu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.

Sementara itu, menurut Fatin, jenazah arwah bapanya telah dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Kampung Terusan Seberang.

“Sebelum kejadian, saya hantar mereka sampai ke pintu, saya dapat tahu kejadian ini daripada abang dan kemudian saya terus ke lokasi, emak dan ayah kemudian terus dikejarkan ke hospital,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN