Tarif air: Kerajaan N. Sembilan kekal beri subsidi, kadar baharu dipastikan tidak beban rakyat - Utusan Malaysia

Tarif air: Kerajaan N. Sembilan kekal beri subsidi, kadar baharu dipastikan tidak beban rakyat

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan kekal memberikan subsidi bagi memastikan rakyat negeri ini idak terbeban walaupun berlaku kenaikan tarif air selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apabila berlaku kenaikan tarif air tersebut nanti, kadar baharu yang ditetapkan  dipastikan tidak berada pada tahap sehingga membebankan rakyat.

“Ia tidak membebankan rakyat, itu yang paling penting sekali, subsidi akan tetap ada diberikan oleh kerajaan negeri untuk sebahagiannya. Rakyat perlu memahami, syarikat-syarikat lain sudah naikkan tarif beberapa kali seperti elektrik, tetapi kita bertahan berpuluh tahun.

“Bagi saya perlu masa ini, dan ia juga dipersetujui semua negeri, peluang untuk kita sama-sama melihat bahawa syarikat ini (Syarikat Air Negeri Sembilan) dapat dikembangkan lagi dan memberikan perkhidmatan lebih sempurna kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa tarif air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun depan.

Semakan tersebut dijangka menyaksikan kenaikan tarif bagi menampung kos operasi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh operator yang menguruskan bekalan air di negeri-negeri.

Aminuddin dalam pada itu menambah, adalah wajar untuk tarif air disemak semula kerana kos operasi bekalan air di Negeri Sembilan juga meningkat.

“Kita telah berbincang lama mengenai keperluan menaik tarif air di Negeri Sembilan, kerajaan negeri memang memberikan subsidi bekalan air, bagi kegunaan domestik di negeri ini 20 meter padu pertama kadarnya adalah 55 sen tetapi kosnya RM1.10, bermakna 50 peratus disubsidi oleh kerajaan negeri.

“Tetapi kita mahu melihat pembangunan bekalan air di negeri ini tidak seperti yang ada sekarang, ramai yang merungut paip bocor, air tidak sampai tetapi untuk kita berbelanja, kita tidak punya kekuatan daripada segi keuntungan di Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), hanya untung RM500,000, RM1 juta, hanya sekadar itu.

“Bagaimana pula kita mahu ganti paip-paip baharu dalam tempoh masa yang lebih panjang, untuk itu saya yakin dan berharap bahawa kenaikan air yang telah berpuluh tahun tidak naik ini dapat dipertimbangkan oleh rakyat, bukan mahu meningkatkan masalah rakyat tetapi kita sudah tidak mampu,” katanya.

Difahamkan, kali terakhir tarif air domestik dinaikkan di negeri ini adalah pada tahun 2002.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya