Tambah baik Dasar Perumahan N. Sembilan disediakan pertengahan tahun hadapan - Utusan Malaysia

Tambah baik Dasar Perumahan N. Sembilan disediakan pertengahan tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sudah memulakan proses bagi menambah baik dasar perumahan di negeri itu sejak ia mula dikuatkuasakan pada tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, selepas lapan tahun sememangnya beberapa perkara dalam dasar berkenaan yang perlu dikaji semula khususnya agar ia seiring dengan situasi semasa pasaran.

“Memang di peringkat Negeri Sembilan, beberapa tindakan sedang diambil untuk mengkaji semula Dasar Perumahan Negeri Sembilan. Proses ini telah dimulakan beberapa bulan lepas.

“Saya telah mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan melalui Unit Perumahan Negeri dan beberapa perkara dan masalah yang dihadapi telah dibawa kepada kami termasuk berkaitan peningkatan kos yang pemaju hadapi sekarang.

“Selepas ini saya akan mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan terlibat untuk mengetahui pandangan mereka mengenai perkara ini sebelum saya bawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan untuk dasar ini dikaji semula, dijangkakan dasar perumahan yang telah ditambah baik akan disediakan sebelum pertengahan tahun hadapan,” katanya hari ini.

J. ARUL KUMAR

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Rehda Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri untuk mempercepat proses tambah baik dasar perumahan di negeri ini yang disifatkan usang dan tiada perubahan berban­ding situasi semasa dalam industri masa kini.

Pengerusinya, Desmond Yap Poh Seng berkata, tiada tambah baik terhadap Dasar Perumahan Ne­geri Sembilan dilakukan sejak ia berkuat kuasa pada 2015 meskipun pemaju dari tahun ke tahun perlu menanggung peningkatan pelbagai kos.

Dalam pada itu, Arul Kumar mengakui dasar berkenaan memang perlu dikaji semula bagi mengelakkan Negeri Sembilan menghadapi masalah kekurangan kediaman untuk ditawarkan kepada rakyat di negeri ini.

“Dasar sedia ada memang sudah lama, ia memang perlu bergerak seiring dengan keadaan terkini, jika tidak saya khuatir Negeri Sembilan akan ketinggalan dalam pembangunan hartanah dan rumah. Mungkin nanti berlaku keadaan tidak cukup rumah di negeri ini yang akhirnya memberikan kesan buruk kepada kita,” katanya lagi.

Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2023 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) telah menunjukkan Ne­geri Sembilan mencatatkan penurunan tinggi dalam pelancaran baharu projek kediaman iaitu sebanyak 77.3 peratus daripada 1,420 unit pada separuh pertama 2022 kepada 323 unit pada separuh pertama tahun ini.

Sementara itu, Arul Kumar memaklumkan, syarat pembinaan rumah mampu milik type A yang berharga RM80,000 oleh pemaju akan tetap dikekalkan meskipun dasar perumahan di negeri ini akan dikaji semula kelak.

“Ia syarat asas yang perlu ada, tidak boleh dikeluarkan kerana ia sesuatu yang sangat perlu, ramai rakyat yang masih tidak mampu, jika tiada pembinaan rumah untuk golongan tersebut sampai bila mereka akan sewa rumah? mesti ada syarat pembinaan 20 peratus rumah mampu milik berharga RM80,000 di negeri ini.

“Jika perkara itu dilihat membebankan dan memberi kesan kepada pemaju, kita akan lihat perkara lain, bagaimana boleh kita bantu pihak pemaju, mesti ada situasi menang-menang dalam hal ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya