SEREMBAN: Semua aktiviti di Taman eko rimba, Taman Negeri Kenaboi, trek pendakian dan aktiviti-aktiviti rekreasi di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal di Negeri Sembilan akan ditutup kepada pengunjung awam mulai 20 November ini.
Pengarah Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan Hamidi Abd. Halim berkata, penutupan sementara sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh dan risiko kepala air.
Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya keadaan cuaca atau ramalan cuaca lebih buruk sebelum tarikh berkenaan, penutupan lebih awal akan berkuat kuasa.
Taman eko rimba yang terdapat di Negeri Sembilan termasuklah di Ulu Bendul, Pasir Panjang, Batu Maloi dan Jeram Tengkek manakala antara trek pendakian yang popular adalah Gunung Angsi, Gunung Datuk dan Bukit Baginda.-UTUSAN.