Tabung Palestin: Kerajaan N. Sembilan berjaya kumpul RM940,000 setakat ini - Utusan Malaysia

Tabung Palestin: Kerajaan N. Sembilan berjaya kumpul RM940,000 setakat ini

AMINUDDIN Harun (enam dari kiri) menerima replika cek untuk sumbangan untuk Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan daripada pihak syarikat NESQ Sdn. Bhd yang disampaikan oleh pengasas syarikat itu, Zamri Abu (lima dari kiri) di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM940,000 telah berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan yang bertujuan bagi membantu dan tanda sokongan serta solidariti terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, edaran kutipan tabung tersebut akan terus diperluas dan digerakkan termasuk di kampung-kampung melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Tabung kita telah mencecah sebanyak RM940,000 setakat tengah hari ini, terima kasih kepada penyumbang, selepas ini akan terus diadakan kutipan. Tabung-tabung sedang disiapkan untuk diedarkan kepada ketua-ketua kampung dengan tujuan mengumpulkan sumbangan di seluruh kampung.

“Ia bagi menyatakan solidariti kita kepada masyarakat di Palestin, kita lihat sendiri kemusnahan yang cukup dahsyat berlaku di Gaza. Ini isu kemanusiaan, isu keihsanan, jika berlaku di negara lain juga kita akan bantu,” katanya kepada pemberita dalam sidang sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Terdahulu beliau turut menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada pihak syarikat NESQ Sdn. Bhd. untuk disalurkan ke Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan berkenaan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1 juta untuk tabung berkenaan.

“Kita sasarkan RM1 juta untuk tabung ini, namun ia akan diteruskan sehingga akhir tahun ini,” katanya yang turut memberitahu kutipan tabung berkenaan turut mendapat kerjasama daripada pihak Global Peace Mission (GPM) Malaysia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya