Syed Saddiq disabitkan atas 4 pertuduhan

Syed Saddiq bersalah bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengetahui keputusan kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memutuskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mensabitkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.

Hakim Azhar kini mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung hukuman.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan – masing-masing satu pertuduhan bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN