Sumbang mahram sehingga lahir anak, bapa tiri warga Bangladesh dipenjara 22 tahun, 15 sebatan - Utusan Malaysia

Sumbang mahram sehingga lahir anak, bapa tiri warga Bangladesh dipenjara 22 tahun, 15 sebatan

SEORANG warga Bangladesh dihukum penjara 22 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun sehingga melahirkan anak.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga pakaian warga Bangladesh dihukum penjara 22 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun sehingga melahirkan anak ketika kejadian pada 2020.

Hakim, Datin Surita Budin menyifatkan perbuatan tertuduh berusia 44 tahun itu diibaratkan seperti ‘haruan makan anak’ kerana lelaki itu sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa yang kematian ibunya akibat kanser otak pada 2018.

“Orang Kena Tuduh (OKT) sepatutnya melindungi anak tirinya dan bukan mengambil kesempatan ke atas mangsa yang berusia 13 tahun sehingga mengandung dan melahirkan anak lelaki serta faktor ibu kandungnya yang baharu meninggal dunia semasa kejadian berlaku,” katanya ketika prosiding keputusan kes di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Surita setelah mendengar mitigasi pertuduhan dan hujahan pemberatan daripada pihak pendakwaan selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 22 Februari 2020 dan 15 kali sebatan terhadap tertuduh yang mana dia boleh mengemukakan rayuan melalui pihak penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 10.30 malam di Kampung Orang Asli, Tekir Mantera Labu, Batu 10, Seremban di sini pada 15 Februari 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berusia 44 tahun yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya menggunakan Bahasa Bengali/ Bangla kemudian diterjemah melalui jurubahasa memohon hukuman penjara yang paling minimum selain memberitahu pernah menjalani pembedahan tulang belakang akibat kemalangan jalan raya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung pula memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan mangsa mengalami trauma akibat dirogol atas penganiayaan bapa tiri sepanjang hidupnya.

“OKT telah menganiaya mangsa sebanyak empat kali sehingga berusia 13 tahun, sekiranya mangsa tidak mengandung dan isu (rogol) itu diketahui pihak sekolah sudah tentu mangsa akan terus diambil kesempatan oleh OKT.

“Bagi kanak-kanak berusia mentah seperti mangsa sepatutnya perlu fokus kepada pembelajaran, tetapi kini pembelajarannya terjejas dan telah menjadi ibu tunggal,” katanya.

Hsiao Tung turut menegaskan bahawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan mendapati DNA tertuduh sama dengan DNA anak yang telah dilahirkan.

“Pembelaan OKT adalah penafian sepenuhnya dan telah membazir masa mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN