Suami isteri warga Indonesia tukar pengakuan, bersalah bunuh majikan - Utusan Malaysia

Suami isteri warga Indonesia tukar pengakuan, bersalah bunuh majikan

BARTOLOMEUS FRANSCEDA (dua dari kanan) dan isterinya, Ekalia diiring anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan membunuh majikannya, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri warga Indonesia menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan membunuh majikan mereka di sebuah rumah di Senai, Kulai, tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini. 

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar kemudian menetapkan 11 Disember ini bagi memberikan keputusan hukuman ke atas Bartolomeus Fransceda dan isterinya, Ekalia, masing-masing berusia 23 tahun selepas kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan tersebut didakwa secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai kira-kira pukul 2 petang, 17 Mac 2019.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan siasatan dan analisis rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, pasangan itu telah membunuh mangsa menggunakan cangkul kecil yang mempunyai dua mata tajam.

Tertuduh pertama dan kedua telah memukul si mati dengan cangkul kecil itu di bahagian kepala ketika mangsa sedang berehat, sebelum mereka melarikan Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur bagi bertemu rakan untuk mencari kerja baharu.

Walau bagaimanapun mereka berjaya ditahan di sebuah restoran di Damansara, Selangor sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetakan berganda di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Ooi Pen Lyn dan S. Selvi.

Pen Lyn dalam hujahannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepada kedua-dua tertuduh sebenarnya adalah mangsa kepada pemerdagangan manusia kerana ditipu ejen pekerja tidak berdaftar.

“Kedua-duanya dijanjikan bekerja di Sarawak dan Kuala Lumpur, namun apabila tiada pekerjaan yang dijanjikan itu, mereka mahu pulang ke Indonesia.

“Namun, agensi tidak membenarkan mereka pulang dan mengugut supaya mereka membayar wang pampasan jika berdegil, sebelum dihantar bekerja sebagai tukang kebun dan amah di kediaman seorang warga emas.

“Kedua-dua tertuduh menyatakan mereka bukan sahaja diseksa secara mental dan fizikal oleh warga emas berkenaan, malah diperhambakan dengan tidak diberi makan selain diarahkan tinggal di pondok luar kediaman berkenaan. 

“Oleh itu, saya memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun bagi membolehkan mereka pulang ke Indonesia bersama keluarga apatah lagi mereka sudah bertaubat, insaf dan kesal atas perbuatan mereka,” katanya.

Namun, Muhammad Syafiq berkata, alasan diseksa dan diperhambakan bukan lesen untuk kedua-dua tertuduh meletakkan undang-undang di tangan sendiri apatah lagi membunuh dengan kejam.

“Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan hukuman pengajaran sebagai iktibar kepada masyarakat supaya tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

“Walaupun hukuman Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah dipinda dengan meletakkan hukuman penjara, namun adalah menjadi hak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati berdasarkan kes dan situasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN