Stuart dedah punca Zii Jia enggan sertai RTG

Stuart dedah punca Zii Jia enggan sertai RTG

LEE Zii Jia tidak menyertai program RTG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelaras Jawatankuasa ‘Road to Gold’ (RTG), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu tidak meletakkan sebarang syarat luar biasa yang menyebabkan jaguh perseorangan lelaki penuh kontroversi, Lee Zii Jia enggan menyertai program tersebut. 

Stuart yang ditemui media semalam mengakui kecewa dengan tindakan pemain itu namun menjelaskan kesemua atlet yang diserap masuk ke dalam program itu wajib menandatangani persetujuan komitmen (LOC) sebelum mula menerima sebarang bantuan.

Tambah Stuart lagi, LOC tersebut tidak bersifat mengongkong sebaliknya bagi memastikan ketelusan atlet menggunakan segala bantuan yang diberikan dan ia langsung tidak menjejaskan sebarang komitmen dengan penajaan mereka. 

Justeru segala laporan dan dokumen sokongan untuk segala bantuan yang diberikan adalah sebahagian daripada prosedur daripada kerajaan.

“Kami hanya mahu mereka beri laporan selepas semua sokongan atau bantuan yang diberikan menerusi peruntukan yang diberikan kerajaan atau daripada RTG. Kami mahu pastikan apa yang diminta dan diperlukan atlet serta jurulatih digunakan secara betul dan memberikan impak yang positif.

“Kami percaya sebagai atlet profesional, laporan seperti ini adalah perkara biasa. Kami hanya mahu ada semak dan imbang bagi membuktikan semua berjalan dengan betul.

“Tiada sebarang komitmen yang diperlukan secara komersial atau tiada apa-apa yang diambil daripada atlet termasuk hak imej dan sebagainya.

“Saya fikir LOC ini bukan isu besar kerana atlet lain sudah menandatanganinya. 

“Ini adalah  bagi membuktikan komitmen mereka kepada program ini, kami tidak mahu hari ini mereka masuk, tapi selepas tiga bulan mereka rasa tidak mahu, mereka nak keluar begitu saja,” kata Stuart.

Ketiadaan Zii Jia menyaksikan RTG akan meneruskan program mereka dengan 14 orang atlet terbaik dimiliki negara bagi mencapai sasaran pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Antara yang berada dalam program tersebut adalah Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dan badang negara, Mohd. Aniq Kasdan.

Bakinya pula terdiri daripada barisan pemain badminton antaranya perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya