Simpan 12 burung dilindungi tanpa lesen, peniaga didenda RM40,000 - Utusan Malaysia

Simpan 12 burung dilindungi tanpa lesen, peniaga didenda RM40,000

TAN Chee Kong (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi didakwa atas dua pertuduhan menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen pada 2016.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga kedai haiwan peliharaan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen pada 2016.

Tan Chee Kong, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, OKS pada 3 November 2016, lebih kurang pukul 12 tengah hari di sebuah premis perniagaan di Jalan Kapitan Tam Yeong di sini didapati tanpa lesen telah menyimpan sebelas ekor burung kelicap kunyit iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 1976).

Oleh yang demikian, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Chee Kong pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama, didapati telah menyimpan tanpa lesen dua ekor burung bayan serindit betina iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta 716. Oleh itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 62, Akta 716 dan boleh dihukum di bawah seksyen akta yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, Mazni menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar dan bagi pertuduhan kedua pula, OKS dikenakan denda sebanyak RM30,000, jika gagal bayar enam bulan penjara.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore Bolongan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Gilmoore memohon hukuman setimpal dapat dikenakan terhadap OKS sebagai pengajaran dan amaran kepada semua pihak bahawa jenayah melibatkan hidupan liar adalah satu jenayah yang serius.

“Aktiviti pengambilan hidupan liar di habitat asalnya semakin tidak terkawal menyebabkan banyak impak negatif yang berlaku. Sekiranya aktiviti ini tidak dibendung segera, maka burung kelicap kunyit dan bayan serindit ini akan pupus dan ekosistem habitat semula jadi terjejas,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN