Sidang DUN: RM9.7 juta bangunkan Kg. Orang Asli - Utusan Malaysia

Sidang DUN: RM9.7 juta bangunkan Kg. Orang Asli

ZAHARI SARIP menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM9.7 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di perkampungan Orang Asli di negeri ini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan daripada kerajaan Pusat dan negeri itu bagi melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial, bekalan air terawat, ekonomi, pemerkasaan institusi pentadbiran peringkat kampung dan pembangunan modal insan masyarakat pribumi tersebut.

“Johor komited bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan masyarakat Orang Asli dapat bersaing seiring dengan pembangunan dan kemajuan di negeri Johor.

“Antara usaha dilakukan termasuk Projek Rintis Kampung Orang Asli Sejahtera di Kampung Orang Asli Putting, Segamat. Objektif program ini bagi memastikan kemajuan kampung Orang Asli seiring dengan kampung-kampung lain melibatkan tiga komponen utama, iaitu keceriaan, ekonomi dan pendidikan. 

“Program yang dilaksanakan dengan peruntukan RM300,000 itu akan memberi manfaat kepada 200 masyarakat Kampung Orang Asli Putting dari pelbagai peringkat umur,” katanya semasa menjawab soalan Hahasrin Hashim (Panti-BN) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap memberitahu, Kampung Orang Asli Putting akan menjadi contoh bagi kampung Orang Asli lain, seiring dengan aspirasi menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah memberitahu, kerajaan negeri terus komited memastikan masyarakat negeri ini mendapat peluang pekerjaan sewajarnya.

Katanya, usaha itu digerakkan menerusi Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) yang  menganjurkan beberapa siri Program Gerak Kerjaya Johor. 

“Daripada lapan program Gerak Kerjaya Johor yang telah diadakan tahun ini, seramai 10,916 orang ditemuduga dan 3,659 ditawarkan peluang temuduga kedua, manakala 772 orang mendapat tawaran terus pekerjaan.

“Selain itu, SMI juga telah menjalankan 16 kursus sepanjang tahun ini melibatkan seramai 520 peserta daripada lapan sektor pekerjaan, antaranya minyak dan gas, aeroangkasa, teknologi informasi, tenaga hijau, automotif, pembinaan, perkhidmatan serta elektrik dan elektronik,” katanya semasa menjawab soalan Nazri Abdul Rahman (PH-Simpang Jeram) tentang inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan graduan mendapat manfaat daripada peluang pekerjaan industri tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya