Sidang DUN: Kerajaan Pusat beri hampir RM200 juta baiki jalan rosak di Johor - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Kerajaan Pusat beri hampir RM200 juta baiki jalan rosak di Johor

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH menggulung perbahasan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM198.93 juta bagi membaik pulih sebanyak 218 lokasi kerosakan jalan Persekutuan di negeri ini pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM27 juta dibelanjakan bagi pembaikan jalan di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang.

Beliau berkata, sebanyak 120 lagi lokasi jalan rosak akan dibaik pulih pada tahun depan selepas menerima peruntukan tersebut.

“Masih banyak lagi jalan rosak di negeri ini tetapi jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini, lokasi kerosakan teruk telah jauh berkurangan, khususnya di bandar raya Johor Bahru dan Pasir Gudang selain jalan di Mersing dan Kota Tinggi.

“Bagi jalan negeri pula, iaitu jalan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak 109 lokasi jalan rosak telah dibaiki pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM150 juta. 

“Untuk tahun depan, anggaran peruntukan yang sama akan digunakan bagi 140 kerja pembaikan termasuk jalan dan bukan jalan,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2024 pada Sidang Dewan Undangan  Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mengenai kerosakan jalan di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), Mohamad Fazli memberitahu, sebanyak 1,137 jalan telah dibaik pulih pada tahun ini.

Bagi tahun depan, dijangkakan sebanyak 2,428 kerja akan dijalankan dengan peruntukan tetap siling RM300 juta setahun.

“Kerja-kerja ini bukan sahaja melibatkan kerja pembaikan jalan, malah juga kerja membaiki runtuhan cerun, longkang, parit dan perabot jalan.

“Hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat memudahkan negeri Johor menerima projek besar. Antaranya Jambatan Sungai Pulai yang bernilai RM800 juta yang mula dibina pada 2017 dan sudah beroperasi Januari lalu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya