SIdang DUN: Johor perkasa industri agromakanan, tingkat eksport - Utusan Malaysia

SIdang DUN: Johor perkasa industri agromakanan, tingkat eksport

ZAHARI SARIP menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri berhasrat memperkasakan lagi potensi Johor bukan sahaja sebagai ‘bakul makanan’ negara, malah dapat menjadi pembekal ke negara serantau dan antarabangsa. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, keyakinan itu susulan peningkatan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan pada tahun lalu.

Menurutnya pengeluaran buah-buahan merekodkan jumlah terbesar, iaitu sebanyak 772,317.4 tan metrik atau 34.5 peratus daripada pengeluaran buah-buahan dalam negara membabitkan kawasan seluas 50,217 hektar.

Bagi sayur-sayuran, Johor menjadi pengeluar kedua terbesar selepas Pahang dengan sebanyak 245,330.4 tan metrik membabitkan kawasan seluas 17,188.3 hektar.

“Johor berhasrat untuk membangunkan industri agromakanan sebagai industri yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, seterusnya meningkatkan lagi tahap sosioekonomi para pengusaha sektor pertanian.

“Ia menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor bagi meningkatkan pengeluaran industri tanaman makanan utama bagi komoditi buah-buahan dan sayur-sayuran. 

“Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan sebanyak 33.61 peratus (230,436 tan metrik), manakala sayur-sayuran meningkat menjadi 39.9 peratus (44,977 tan metrik) pada 2027,” katanya menjawab soalan N. Saraswati  (BN-Kemelah) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi menyediakan insentif bagi membantu para pengusaha meningkatkan aktiviti dan hasil tanaman mereka.

Katanya, insentif yang diberikan meliputi pembangunan ladang seperti penyediaan kawasan, infrastruktur asas, benih dan input, teknologi, sistem pengairan, peralatan, mekanisasi dan jentera, pusat pengumpulan hasil ladang dan lain-lain insentif yang boleh menyumbang kepada peningkatan kuantiti dan kualiti hasil tanaman. 

Kerajaan negeri juga dalam usaha untuk meningkatkan lagi aktiviti eksport produk hasil tanaman tempatan yang berpotensi ke negara serantau dan antarabangsa. 

“Ketika ini, Johor merupakan pengeksport utama produk pertanian ke Singapura termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan produk hiliran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya