Sidang DUN: Jadikan Pulau Merambong pangkalan maritim - Pandak - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Jadikan Pulau Merambong pangkalan maritim – Pandak

PANDAK AHMAD mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2023 pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mencadangkan supaya Pulau Merambong dijadikan sebagai Pangkalan Penguatkuasaan Maritim Negara.

ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, cadangan itu wajar bagi memastikan kedaulatan negara, khususnya di kawasan perairan Selat Tebrau terus terjaga daripada ancaman jenayah.

“Kewujudan pangkalan maritim di Pulau Merambong penting bagi memantau dan memastikan perairan negara tidak diceroboh oleh mana-mana pihak, termasuk mengelakkan berlakunya insiden nelayan tempatan terus diganggu pihak berkuasa negara jiran.

“Tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu tidak harus dibiarkan terus berlaku, manakala kepentingan negara dan rakyat harus dijaga dan diberi keutamaan,” katanya semasa membahaskan Belanjawan Johor 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pandak menegaskan, kewujudan pangkalan maritim di kawasan itu bukan sahaja mampu menjaga kedaulatan negara, malah melindungi rakyat tempatan yang mencari rezeki.

“Selain itu, ia juga bagi melindungi kelestarian hidupan marin di kawasan perairan berkenaan yang menjadi habitat bagi pelbagai spesies termasuk dugong dan penyu. Khazanah alam itu harus dipelihara supaya tidak pupus,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan pihak pengawal pantai Singapura beberapa kali mengundang masalah kepada nelayan tempatan di kawasan Pendas termasuk dengan sengaja melanggar jaring nelayan menggunakan bot pihak berkuasa itu.

Sementara itu, beliau turut berharap kerajaan akan dapat menjelaskan dengan terperinci butiran melibatkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.

“Dasar yang akan diperkenalkan di kedua-dua zon ekonomi ini harus diperjelaskan dengan baik supaya tidak timbul kekeliruan serta dimanipulasi pihak tertentu untuk meraih sokongan atas tiket individu atau parti.

“Kota Iskandar mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu untuk membantu meneliti dan merangka dasar sesuai dilaksanakan dan digunakan, ini penting agar ia tidak menjejaskan reputasi kerajaan.

“Sebagai contoh, kegagalan menjelaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu menjadi salah satu punca kekalahan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU), perkara itu harus menjadi iktibar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya