Sidang DUN: 583 SAKJ bakal dilengkapi kemudahan wifi - Utusan Malaysia

Sidang DUN: 583 SAKJ bakal dilengkapi kemudahan wifi

MOHD. FARED MOHD. KHALID menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan menyasarkan sebanyak 583 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) akan menerima manfaat daripada pemasangan wifi secara berfasa ke arah pembelajaran abad ke-21. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pada tahun ini sebanyak 92 SAKJ telah dilengkapi dengan kemudahan internet daripada 140 sekolah yang disasarkan dengan membabitkan kos melebihi RM400,000 ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). 

“Bagi fasa pertama, sebanyak 20 buah SAKJ telah selesai pemasangannya dan digunakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

“Bagi pemasangan internet fasa 2, sebanyak 72 buah sekolah selesai dipasang kemudahan itu di sekolah-sekolah yang dipilih. Kita jangka pemasangan di 48 buah sekolah lagi dijangka dapat diselesaikan pada bulan depan,” katanya menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Semerah memberitahu, sebanyak tiga sekolah agama yang menerima manfaat program tersebut turut menerima televisyen pintar daripada Perbadanan Islam Johor (PIJ) bagi melengkapi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian. 

Sekolah tersebut ialah Sekolah Agama (SA) Parit Jamil, SA Sungai Balang Darat dan SA Sungai Resik. 

Mengenai program pendigitalan masjid dan surau, beliau berkata, inisiatif itu berjalan lancar dan diteruskan pada tahun depan. 

“Setakat 16 November lalu, sebanyak 151 buah masjid dan surau telah menerima kemudahan wifi, jumlah ini menunjukkan kemajuan petunjuk prestasi utama (KPI) tahun ini telah mencapai 94 peratus yang menelan belanja sebanyak RM470.404. 

“Antara daerah yang telah siap pemasangan adalah Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing. Program pendigitalan ini  telah memperkasakan fungsi masjid dan surau sebagai pusat rujukan umat Islam.

“Dengan itu, kemudahan wifi di masjid dan surau yang dirancang pada tahun depan dengan anggaran kos RM878,609 bakal memberi manfaat kepada 320 masjid dan surau serta ahli kariah,” katarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN