Sidang DUN: 150 sekolah agama di Johor dalam keadaan kritikal - Mohd. Fared - Utusan Malaysia

Sidang DUN: 150 sekolah agama di Johor dalam keadaan kritikal – Mohd. Fared

MOHD. FARED MOHD. KHALID menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 150 buah sekolah agama di negeri ini dikenal pasti dalam keadaan kritikal dan perlu dibaik pulih dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sesebuah sekolah itu dikategorikan sebagai kritikal melibatkan aspek pendawaian, bumbung dan tandas dan tahun ini sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk membaik pulih 50 buah sekolah berkenaan.

“Kerajaan negeri menerima permohonan untuk membaiki antara 150 hingga 200 buah sekolah daripada keseluruhan 583 sekolah agama di negeri ini yang dikategori sebagai kritikal dan tidak kritikal.

“Tahun ini 50 buah sekolah telah dibaik pulih, manakala 100 buah yang lain akan dilaksanakan tahun depan dengan peruntukan RM12 juta hasil kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai agensi, antaranya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan lain-lain,” katanya menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah turut memberitahu, MAINJ telah memperuntukkan RM2.5 juta bagi mengganti 9,370 perabot termasuk meja dan kerusi murid serta meja dan kerusi kantin di 158 sekolah pada tahun ini.

“Sementara itu, peruntukan bagi tujuan tersebut juga akan dinaikkan menjadi RM3 juta pada tahun depan.

“Kita juga telah memeriksa tandas di 583 buah sekolah agama dan mendapati terdapat 3,800 kerosakan merangkumi pam, pintu tandas, tandas tersumbat dan lain-lain yang menelan kos baik pulih sebanyak RM500,000,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fared memaklumkan sekolah agama turut mengalami kekurangan guru  ekoran perpindahan guru-guru ke Kementerian Pendidikan, persaraan dan yang meninggal dunia.

“Setakat ini terdapat kekosongan guru sekolah agama sebanyak 658  bagi gred DG29 dan 74 bagi gred DG41. Usaha telah diambil untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan demi kesejahteraan dan kelancaran pendidikan sekolah agama di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN