Siasat segera punca kepala air, banjir kilat di Bukit Tinggi - Young Syefura - Utusan Malaysia

Siasat segera punca kepala air, banjir kilat di Bukit Tinggi – Young Syefura

YOUNG Syefura Othman (dua dari kanan) bersama Nik Nazmi Nik Ahmad ketika meninjau laluan ke Janda Baik yang terpaksa ditutup susulan kejadian kepala air dan banjir kilat di Bukit Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Siasatan segera perlu dilakukan bagi melihat sekiranya terdapat penerokaan haram di kawasan hutan simpan di Bukit Tinggi di sini berikutan kejadian kepala air dan banjir kilat yang berlaku di kawasan itu, malam tadi.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, siasatan juga bagi melihat kemungkinan terdapat kawasan takungan hujan yang berpotensi menyebabkan kepala air setiap kali berlaku hujan lebat di Bukit Tinggi.

“Pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sudah mengambil maklum tentang punca kepala air yang menyebabkan runtuhan cerun serta kerosakan jalan dan pelbagai harta benda penduduk sehingga menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi mereka sebagai kawasan pelancongan.

“Kajian menyeluruh akan dibuat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kerja-kerja mitigasi yang diperlukan untuk seluruh daerah ini khususnya untuk kawasan berisiko tinggi seperti di Bukit Tinggi dan Janda Baik.

“Dalam masa yang sama kerja-kerja baikpulih segera cerun dan jalan, serta kerja pembersihan dan pendalaman sungai akan dilakukan oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan JPS buat sementara waktu sebelum pelan baikpulih jangka panjang dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Ekoran kejadian itu, telah diadakan mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan wakil beberapa agensi berkaitan di Balai Polis Bukit Tinggi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Young Syefura berkata, buat masa ini hanya satu jalan boleh digunakan untuk ke Kampung Janda Baik iaitu dari jalan lama Bukit Tinggi iaitu laluan menghala ke SMK Bukit Tinggi.

“Laluan jalan lama dari Genting Sempah ke Janda Baik ditutup dalam tempoh lima hari untuk kerja-kerja pembersihan.

“Laluan dari Balai Polis Bukit Tinggi ke Janda Baik ditutup buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak kerana berlaku keretakan jalan akibat banjir kilat yang berlaku malam tadi,” katanya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya