JOHOR BAHRU: Sindiket memproses dan mengedar dadah yang didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ terbongkar susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan arak di Kawasan Perindustrian Pasir Puteh, Pasir Gudang, dekat sini.
Dalam tiga serbuan berasingan termasuk dua di Johor Bahru, polis berjaya merekodkan rampasan terbesar melibatkan dadah, sitaan dan arak tanpa cukai berjumlah RM10.378 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan bersama-sama empat lagi suspek termasuk dua warga asing yang berusia antara 26 hingga 54 tahun.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam melancarkan operasi khas kelmarin dengan menyerbu sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan arak seludup dan lebih memeranjatkan turut dijadikan makmal memproses dadah.
“Dalam serbuan itu, tiga suspek ditahan bersama-sama rampasan 189,840 tin arak tanpa cukai kastam bernilai RM5.538 juta. Modus operandi digunakan ialah menyimpan arak dalam kontena sebelum dihantar mengikut pesanan di sekitar Johor Bahru.
“Pada masa sama, polis turut berjaya menemukan sebuah makmal yang dijadikan sebagai tempat memproses dadah jenis ekstasi. Polis merampas 22.84 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 2,230 biji pil ekstasi dan 182.9 liter cecair kimia dengan nilai keseluruhan RM1.798 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah serta ‘precursor’, pelbagai jenis barang kemas, wang tunai mata wang asing dan 10 kenderaan dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta.
Kamarul Zaman berkata, susulan itu, polis melancarkan dua lagi serbuan hingga pukul 4 petang semalam di sekitar Johor Bahru dan menahan dua lelaki berusia 46 dan 54 tahun termasuk dalang sindiket tersebut yang merupakan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’.
“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebahagian kilang di kawasan itu sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Sindiket itu memilih kawasan kilang yang berpagar tinggi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil memberitahu kegiatan penyeludupan arak tanpa cukai itu beroperasi sejak November 2022 manakala kegiatan memproses dan pengedaran dadah aktif sejak Jun lalu.
Hasil saringan air kencing terhadap kelima-lima suspek tersebut didapati negatif dadah dan kini direman selama empat hari hingga 1 Disember ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Dalam perkembangan sama, Kamarul Zaman berkata, sejak 1 Januari hingga 27 November lalu, pihaknya berjaya menangkap seramai 15,483 orang atas pelbagai kesalahan dadah serta merampas dadah sebanyak 4.74 tan bernilai RM33.80 juta dengan sitaan harta RM13.29 juta. – UTUSAN