PORT DICKSON: Sembilan buah gerai makan yang terletak di hadapan Dataran Telok Kemang, di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 7.16 malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB), Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, turut dikejarkan ke lokasi adalah sepasukan anggota bomba dari balai bantuan dari BBP Port Dickson.
“Kebakaran melibatkan empat lot gerai terbakar 100 peratus dan lima lagi lot gerai dianggarkan terbakar 25 peratus. Keluasan setiap gerai adalah 10×10 kaki persegi.
“Sehingga pukul 10.51 malam tadi, kerja-kerja overhaul sedang dilakukan oleh anggota bomba dan tiada mangsa terbabit dalam kebakaran ini,” katanya hari ini.
Menurutnya, buat masa ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN.